TEBEDU, 11 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan sempadan Pintu Masuk Darat Tebedu, Serian, awal pagi Rabu.
Dalam serbuan yang dijalankan menerusi Ops Serkap dan Ops Kutip, seramai 11 warga Indonesia termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki cuba diseludup keluar dari Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
JIM Sarawak berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan oleh Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan, bermula pukul 4 pagi, di lokasi yang dikenal pasti menjadi pusat transit haram sindiket terbabit.
“Salah satu lokasi merupakan sebuah premis yang dijadikan markas transit kumpulan tersebut sebelum dipercayai membawa keluar migran secara haram ke negara jiran,” menurut kenyataan itu hari ini.
Turut disita dalam serbuan berkenaan ialah sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan.
Kesemua individu kini ditahan di Depot Imigresen bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.