KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Baru sahaja dibebaskan beberapa jam dari Mahkamah Sesyen Besut siang tadi, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan semula bagi membantu siasatan kes penipuan penjualan tanah melibatkan kerugian sebanyak RM35,000 pada tahun 2023.
Suspek, Mohd Azlan Abdullah @ Ali, 38 tahun, ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, selepas prosiding kesnya di Besut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin memaklumkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun esok bagi mendapatkan perintah reman selama empat hari di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan," katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Sesyen Besut pagi tadi, Mohd Azlan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat, sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Mengikut pertuduhan, dia bersama adiknya, Mohd Mustakim Abdullah @ Ali, 31 tahun, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan merosakkan kereta jenis Perodua milik seorang wanita hingga menyebabkan kerugian RM5,000 pada 23 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara antara satu hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 November di Mahkamah Majistret Besut.
Sementara itu, Datuk Mohd Khairi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam urus niaga jual beli tanah atau hartanah, serta memastikan semua dokumen disemak dan diuruskan melalui saluran sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
BERITA BERKAITAN: