fb fb fb fb fb

Perbuatan khianat, 'Datuk' mengaku tidak bersalah

Enam individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut atas pertuduhan melakukan khianat/Foto RTM

BESUT, 27 Oktober - Seorang usahawan hartanah bergelar 'Datuk' dan adiknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Besut, atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan sebuah kereta milik seorang wanita, dalam kejadian pada 23 Oktober lalu.

Tertuduh, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38 tahun, dan adiknya, Mohd Mustakim Abdullah @ Ali, 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
 
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan khianat dengan sengaja merosakkan sebuah kereta milik seorang wanita hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM5,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Buluh, Jalan Tok Raja, kira-kira pukul 11 malam pada 23 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 November depan.
 
Dalam prosiding sama, Mohd Mustakim turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama tiga individu lain kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Hafizie Wan Mohamad, 36 tahun.
 
Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi sama serta mereka mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
 
Sementara itu, Wan Hafizie, yang juga mangsa dalam kejadian berkenaan, turut didakwa di mahkamah sama kerana menggunakan kekerasan terhadap Mohamad Azlan.

Dia mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500.

Kesemua pertuduhan berhubung insiden pergaduhan di Kampung Pengkalan Buluh itu akan disebut semula di Mahkamah Majistret Besut pada 24 November 2025.
                                                                                                      

Trainee