IPOH, 27 Oktober - Sebuah syarikat didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas wakilnya membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan memiliki diesel tanpa lesen sah, dua tahun lepas.
Hakim Ainul Sharin Mohamad turut memerintahkan hasil jualan bernilai RM23,803.15 dilucutkan hak kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati memiliki 10,129 liter diesel tanpa kebenaran Pengawal Bekalan pada 15 Ogos 2023 di sebuah premis di Keramat Pulai Industrial Park.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shamani Natha.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.