fb fb fb fb fb

Paul Yong fail semakan terhadap sabitan rogol

Bekas Ahli Parlimen Tronoh Paul Yong Choo Kiong/Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Oktober - Bekas Ahli Parlimen Tronoh Paul Yong Choo Kiong telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta sebatan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah, enam tahun lepas.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Yong ketika dihubungi media mengesahkan permohonan berkenaan telah difailkan minggu lepas.

Notis usul yang difailkan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 itu memohon semakan serta perintah untuk mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap anak guamnya.

Yong, 55, mula menjalani hukuman pada 1 Okt lepas setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya serta mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Panel tiga hakim yang bersidang diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersama dua hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Menurut afidavit sokongan, Yong mendakwa panel Mahkamah Persekutuan terdahulu telah menyalahi prinsip keadilan asasi.

Beliau mendakwa panel berkenaan telah merujuk kepada kes Sathya Vello lawan Pendakwa Raya sebagai asas keputusan, sedangkan keputusan itu telah dibatalkan kemudian tanpa memberi peluang kepada pasukan pembelaan mengemukakan hujah.

Yong berkata berdasarkan nasihat peguamnya, panel terdahulu telah menyimpang daripada tafsiran dan amalan undang-undnag sedia ada berhubung Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah tanpa memberi peluang kepada peguamnya untuk berhujah.

Beliau menyatakan telah berlaku ketidakadilan apabila panel Mahkamah Rayuan terdahulu menyimpang daripada prinsip undang-undang telah ditetapkan, sekali gus menyebabkan pelanggaran terhadap hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Afidavit itu turut menyatakan bahawa berdasarkan nasihat undang-undang diterima, hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.

Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Tinggi mendapati Yong bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, antara 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

Dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir Yong, Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa mangsa merupakan saksi yang berwibawa dan meyakinkan.

Mahkamah telah berpuas hati dengan keterangan mangsa serta menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah bertindak tepat apabila menerima keterangannya sebagai asas kepada sabitan kes.- BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN