JOHOR BAHRU, 27 Oktober - Seorang pesara kerajaan kerugian RM3.07 juta selepas terpedaya penipuan pelaburan tidak wujud, sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata wanita berusia 62 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan saham di media sosial, lalu menghubungi suspek sebelum diberikan pautan aplikasi bagi memantau pelaburan.
"Didorong dengan tawaran keuntungan segara, mangsa melakukan 29 transaksi wang ke dalam enam akaun bank berbeza bermula 19 Ogos sehingga 15 Oktober lalu." kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Mangsa sedar ditipu setelah gagal mengeluarkan wang pelaburan melalui aplikasi diberikan dan laporan polis dibuat Jumaat lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya terhadap sebarang pelaburan yang menjanjikan keuntungan mudah dan segera.