KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Seorang pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 79 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM488,050, bagi membantu proses pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Tertuduh, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Menurut pertuduhan, Syed Mohd Muhaimin yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan di sebuah cawangan bank di Kepong, didakwa menerima wang rasuah tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Wang itu dipercayai sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan CSA Academy Sdn Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara tahun 2022 hingga 2024, secara serentak dengan permohonan pinjaman pelanggan sama di beberapa institusi kewangan lain, menyebabkan pelanggan terbabit memiliki pinjaman melebihi had kelayakan.
Tertuduh, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman/RTM
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, serta diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November ini.
Kes tersebut kemudian dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan tarikh sebutan semula akan ditetapkan kemudian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir.