PASIR MAS, 28 Oktober - Seorang pengurus kedai pajak gadai dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rompakan barang kemas bernilai RM5.7 juta di sebuah premis di sini, Selasa lalu.
Turut ditahan tujuh individu termasuk lima pekerja dan seorang pengawal keselamatan dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas dan Rawang, Selangor.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 1 tengah hari, apabila suspek lelaki bersenjatakan pisau dan menyembur cecair pembasmi kuman terhadap pelanggan sebelum melarikan 10.9 kilogram (kg) barang kemas dari peti besi premis berkenaan.
"Ini adalah kes betul-betul kes samun yang di rancang pekerja dia sendiri, pemilik pajak gadai ni di Terengganu, jadi dia mengharapkan pekerja perempuan ni yang sudah bekerja 17 tahun daripada gaji lebih RM300 kepada RM4,000 sekarang yang inilah diharapkan pegang peti besi password dan inilah perancang utama", katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu dirancang pengurus pajak gadai terbabit bersama teman lelakinya, dengan bantuan beberapa pekerja.
Polis turut menemui 933 plastik mengandungi barang kemas di sebuah rumah di Kota Bharu serta merampas dua bilah pisau, cecair pembasmi kuman dan wang tunai dalam serbuan di Rawang.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 66 tahun kini ditahan reman sehingga Khamis depan.
Menurut Mohd Yusoff, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.