BUKIT MERTAJAM, 12 Jun- Empat lelaki tempatan masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan pili bomba tanpa kebenaran bagi tujuan selain memadam kebakaran.
Kesemua tertuduh, L. Satishraj, S. Kejenthiran, S. Loga Nathean dan M. Mathanraj, melakukan kesalahan tersebut pada 12.15 pagi, 28 April lalu di kawasan Bukit Tambun, Simpang Ampat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Mohd. Harith Mohd Mazlan turut memerintahkan pelupusan barangan rampasan yang digunakan dalam kes tersebut, termasuk gelung hos penyambung dan batang besi pembuka pili bomba.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nor Azlinda Mohamad Ajlan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.