fb fb fb fb fb

Waspada sindiket tawar diskaun bil TNB - Polis

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 September- Masyarakat perlu lebih berwaspada dengan penipuan dalam talian yang menawarkan diskaun pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata orang ramai perlu mengambil berat tentang penipuan itu untuk mengelak diri terjerat dengan kerugian wang.

"Sindiket ini membuat tawaran diskaun bil TNB melalui Facebook.. kadar diskaun yang ditawarkan adalah sekitar 20 peratus hingga 30 peratus. Mangsa yang berminat diminta untuk menghubungi nombor yang dipaparkan dan kemudiannya menghantar gambar bil TNB mereka..setelah itu sindiket akan menghantar resit pembayaran kononnya bayaran telah dijelaskan.

"Mangsa kemudian diarah untuk membuat pindahan setelah ditolak diskaun ke akaun individu yang diberikan. Bagaimanapun, setelah pindahan wang dibuat, mangsa mendapati bil TNB mereka masih tertunggak," katanya menerusi sidang media di sini.

Beliau berkata, sejumlah tujuh kes yang menggunakan modus operandi sama sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan nilai kerugian lebih RM200,000.

Kesemua kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar mendapatkan pengesahan daripada agensi yang berkaitan tentang kesahihan tawaran yang diberikan sebelum membuat sebarang transaksi.

Dalam pada itu, Ramli menegaskan bahawa proses pemulangan semula wang yang berjaya disekat dalam kes penipuan secara dalam talian hanya boleh dilakukan oleh pegawai penyiasat kes PDRM.

Jelasnya, proses selama tiga hingga enam bulan itu tidak boleh dilakukan oleh mana-mana individu persendirian kecuali pegawai penyiasat rasmi yang terlibat dan ia juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Wang berkenaan boleh diserah semula kepada mangsa melalui peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.

"Antara peruntukan diguna pakai adalah Seksyen 435 KTJ bagi tujuan sitaan dan Seksyen 413 KTJ bagi permohonan pemulangan wang," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM