fb fb fb fb fb

Peniaga rugi RM9,750 ditipu tempahan katering palsu

Asisten Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor/ Foto fail

KUALA TERENGGANU, 6 September - Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM9,750 setelah tertipu dengan tempahan katering palsu yang didakwa berkaitan dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 2 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor, suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Wakaf Tapai, menghubungi mangsa melalui WhatsApp untuk menawarkan tempahan perkhidmatan katering bagi majlis penutupan Sambutan Merdeka di JBPM Wakaf Tapai.

Dalam perbualan tersebut, mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan telah diarahkan untuk membuat pemindahan wang ke dalam sebuah akaun bank sebagai bayaran tempahan.

Mangsa turut memindahkan wang untuk tempahan ‘goodies’ kononnya bagi sambutan majlis tersebut.

Setelah wang dipindahkan, mangsa cuba menghubungi suspek semula tetapi mendapati talian telah disekat.

Mangsa kemudiannya menghubungi JBPM dan mendapati bahawa agensi tersebut tidak terlibat dalam tawaran itu.

Menyedari dirinya telah diperdaya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 4 September lalu.

ACP Azli memaklumkan bahawa dalam tempoh sama, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuala Terengganu telah menerima tiga laporan penipuan dengan modus operandi yang sama.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Trainee