fb fb fb fb fb

JIM Kedah tahan 228 warga asing di Kulim

Seramai 228 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kedah menerusi operasi bersepadu di Kulim / Foto RTM

KULIM, 6 September – Seramai 228 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kedah menerusi operasi bersepadu melibatkan premis-premis yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan yang menawarkan perkhidmatan 'tukar majikan', di sini pada Rabu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata operasi dijalankan Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM.

"Tangkapan melibatkan 222 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan dua perempuan warga China, serta beberapa individu warga India.

"Agensi pekerjaan yang terlibat dikatakan menawarkan perkhidmatan menukar majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan dengan bayaran yang telah ditetapkan," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Ridzzuan berkata, agensi tersebut menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka dan berjaya menarik minat majikan yang terdesak memerlukan pekerja.

Tambahnya, kelulusan daripada pihak berkuasa diperlukan sebelum pekerja boleh dibekalkan kepada majikan baharu.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Manusia 2007.

"Semua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN