fb fb fb fb fb

Warga Thailand ditahan bersama 100,000 biji pil kuda

Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas selepas menahan seorang lelaki warganegara Thailand di Jalan Kuala Krai, Tunjong dekat Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU, 21 Disember- Seorang lelaki Thailand dicekup polis bersama 100,000 pil kuda bernilai RM651,475 ketika dipercayai sedang menunggu pelanggan di Jalan Kuala Krai, Tunjong, Kota Bharu malam tadi. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan pada jam 11.45 malam. 

Beliau berkata, sebelum tangkapan dibuat, polis melihat sebuah kereta jenis Perodua MyVi berwarna biru di kawasan lapang di jalan berkenaan sebelum penumpangnya dilihat keluar dari kereta itu. 

Katanya, lelaki tersebut keluar dari bahagian penumpang hadapan sambil membawa satu beg galas berwarna hitam. 

Menurutnya, pihak polis menghampiri kereta tersebut dan membuat hadangan, tiba-tiba pemandu Perodua MyVi berkenaan bertindak merempuh dua kenderaan pasukan dan memecut ke arah Tunjong meninggalkan penumpangnya di lokasi tersebut.

Ujarnya, pemandu dan kereta tersebut gagal dikesan polis manakala penumpang yang juga suspek lelaki warga Thailand yang berjalan membawa beg tersebut berjaya ditahan. 

“Anggota polis sempat menahan lelaki Thailand itu selepas dia keluar dari kereta terbabit. Pemeriksaan di dalam sebuah beg yang dibawa suspek kemudiannya menemui 100,000 pil kuda seberat lebih 11.8 kilogram.

“Polis turut menyita seutas jam tangan bernilai RM1,000 yang dipakai suspek. Lelaki itu dipercayai memasuki negeri ini secara tidak sah melalui sempadan Malaysia-Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan mendapati, kesemua dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 100,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

Katanya, polis sedang mengesan rakan kepada suspek yang berjaya meloloskan diri selepas merempuh dua buah kenderaan polis.

“Ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, seorang penjawat awam dan pelajar merupakan antara 626 orang yang berusia antara 17 hingga 55 tahun yang ditahan selama sembilan hari Ops Tapis Bersepadu.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 20 warga asing yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Dadah bernilai RM760,169 dirampas sepanjang Ops Tapis Bersepadu selain pelbagai harta berjumlah RM22,500 turut disita,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI