KUALA LUMPUR, 21 Disember - 82 motosikal tanpa brek belakang disita Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam Ops Motosikal atau Samseng Jalanan di ibu kota, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata trend mengubah suai motosikal dengan menanggalkan brek belakang dilihat semakin membimbangkan.
Beliau berkata, bagi memastikan masalah itu ditangani sebaik mungkin pihaknya akan melakukan operasi setiap hari dan minggu supaya trend tersebut dapat disekat daripada berleluasa.
"Kita kesan satu trend di Kuala Lumpur ini yang mana kebanyakan motosikal tidak menggunakan brek belakang, biasa kita jumpe adalah ekzos, yang ini tiada brek belakang.
"Sebanyak 82 motosikal tiada brek belakang, yang ini kita tahan, sita dan kita akan bawa untuk pemeriksaaan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya pada sidang media operasi terbabit di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini.
Tambah Sarifudin, dalam operasi yang sama, sebanyak 633 saman lain juga telah dikeluarkan atas kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cermin sisi dan cukai jalan tamat tempoh.