fb fb fb fb fb

Warga Singapura didenda RM5,500, pecahkan cermin kereta di lebuh raya

Tertuduh, Soh Kian Hui, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid

MUAR, 14 Februari- Seorang pemandu teksi Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memecahkan cermin sebuah kenderaan, di Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Pagoh, Muar, pada Sabtu lalu. 

Tertuduh, Soh Kian Hui, 45 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
 
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang kereta milik seorang lelaki warga tempatan, berusia 31 tahun. 

Akibat tindakan berkenaan, mangsa terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,502. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.58 petang, di Kilometer 139.6, Lebuhraya Utara Selatan, Pagoh, Muar pada 10 Februari lalu. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Ariff Marzuki manakala tertuduh diwakili peguam, Norain Sakina Zikri. 

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Isnin lalu, tular di media sosial, sebuah video berdurasi 55 saat memaparkan insiden pertelingkahan antara dua individu di laluan kecemasan sebuah lebuh raya, berhampiran Pagoh, Muar. 

Menerusi rakaman itu turut memperlihatkan suspek bertindak memecahkan cermin belakang kenderaan mangsa, menggunakan sebatang tongkat.

ROSLINA BINTI DIN