SEREMBAN, 13 Februari- Seorang pengasuh wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan pada minggu lalu.
Tertuduh, Norsham Ismail, 66 tahun, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 10 bulan 30 hari telah menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan menampar muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 7.47 pagi hingga 7.59 pagi, 5 Februari lalu di sebuah pusat asuhan di Nilai.
Sehubungan itu pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh yang sudah bekerja lebih 10 tahun di pusat asuhan itu diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Partheeban.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan 13 Mac depan sebagai sebutan semula kes.