fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tahan tiga lelaki dengan 150,000 biji pil yaba

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun

KOTA BHARU, 14 Februari - Tiga lelaki ditahan bersama-sama 150,000 biji pil yaba bernilai RM995,500 menerusi serbuan di perkarangan bangunan Blok B, Pemborongan Sayur-Sayuran dan Buah di Batu Empat Jalan Pasir Mas-Salor, di sini pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun, ketika serbuan polis mendapati salah seorang daripada suspek berusia 23 tahun sedang mengeluarkan dua kotak berwarna oren dari tempat duduk penumpang sebuah lori dan meletakkan ke atas troli.
 
Dua lagi suspek berusia 21 dan 22 tahun pula sedang berdiri bersebelahan lori tersebut.
 
Katanya, pemeriksaan ke atas kotak tersebut menjumpai 25 bungkusan mengandungi dadah berkenaan dengan anggaran berat lebih 18 kilogram.

"Mereka berselindung disebalik menghantar sayur, hasil siasatan kemungkinan ini bukan kali pertama mereka lakukan kegiatan itu," kata Muhammad Zaki dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Mengulas lanjut Muhammad Zaki berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif Benzo selain dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkait Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menurut beliau, anggotanya turut merampas lori selain turut menyita wang tunai berjumlah RM14,380.

Kesemua mereka direman bermula 11 Februari hingga 17 Februari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

TETITIA YUSOFF