AYER KEROH, 18 Ogos - Seorang lelaki warga Singapura dihukum penjara 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Melaka selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak tirinya, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat ketetapan itu terhadap tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36 tahun, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap Norfazera Bidin, 27 tahun dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11 tahun di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam antara pukul 6 petang pada 6 Oktober 2019 dan pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.
Terdahulu, ibu dan kakak Norfazera tampil memberikan pernyataan impak sebelum hukuman dijatuhkan.
Kedua-dua ahli keluarga mangsa mahu hukuman gantung sampai mati dikenakan dengan mengambil kira trauma jangka panjang selain cara pembunuhan yang dilakukan tertuduh sangat kejam.
Tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu anak guamnya diberikan peluang kedua dengan alasan insaf dan menyesal dengan perbuatannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap 11 Oktober 2019.