KUANTAN, 17 Ogos - Seorang warga Myanmar maut selepas ditikam rakan serumah di sebuah rumah kongsi di Sungai Bayas, Sungai Lembing di sini pukul 4.30 pagi semalam.
Mangsa ditikam kerana dikatakan mabuk dan mengganggu empat rakan lain yang sedang tidur.
Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata, mangsa yang parah akibat kesan tikaman di dada, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa berusia 42 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira 3.00 pagi ketika menerima rawatan. Polis menahan empat lelaki, termasuk tiga warga asing berusia 38 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan," kata Ashari Abu Samah.
Semua suspek ditahan kira-kira 7.30 malam hari sama untuk membantu siasatan.
Seorang suspek yang juga warga Myanmar mengaku menikam mangsa, dipercayai bertindak demikian kerana marah mangsa mabuk dan membuat kacau hingga mengganggu penghuni lain yang sedang tidur.
Polis turut menemukan pisau digunakan suspek ketika memeriksa rumah kongsi itu dan turut mengambil empat sampel darah di lokasi untuk dianalisis.
Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.