JOHOR BAHRU, 24 Januari - Seorang warga emas didenda RM1,600 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Tertuduh, Koh Soon Hua, 60 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib.
Kesalahan itu dilakukan di Puspakom Jalan Bertam 23 di Johor Bahru, Johor pada 18 November lalu kira-kira pukul 5.40 petang.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tempoh setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.