KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berjaya mematahkan cubaan memindahkan lembu secara haram menggunakan semi treler kandang haiwan kuda di Kampung Tok Has Besut.
Pengarahnya Dr. Anun Man ketika dihubungi berkata, tindakan lelaki berusia 40-an itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa menggunakan kenderaan itu gagal apabila pasukan penguatkuasa berjaya menahan kenderaan berkenaan kira-kira pukul 6.45 pagi tadi.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pindah.
Dalam kejadian berasingan seorang lelaki berusia 30-an ditahan kerana cuba memindahkan seekor lembu menggunakan sebuah lori di Kampung Alur Keladi, Besut pada pukul 6.50 pagi tadi.
Modus operandi dengan menutup keseluruhan bahagian belakang menggunakan kanvas bagi mengaburi mata penguat kuasa juga gagal.
Kes disiasat bawah seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM15,000.
Melalui Op Tahun Baharu Cina Penguatkuasa JPV Terengganu telah berjaya mematahkan empat cubaan memindahkan ternakan tanpa kebenaran sah daripada Pengarah JPV.