PONTIAN, 26 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup keluar 6.2 kilogram dadah, bernilai RM360,000, di Pontian, pada awal pagi semalam.
Pemangku Pengarah MARITIM Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, dadah tersebut dipercayai untuk dibawa ke negara jiran.
Ketika di lokasi, sepasukan bot ronda MARITIM yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan, telah mengesan sebuah bot mencurigakan di kedudukan 0.5 batu nautika barat laut muara Sungai Rambah, pada pukul 1.15 pagi
Selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut bertindak menuju ke perairan cetek, sebelum seorang suspek meninggalkan bot terbabit, dan melarikan diri ke dalam kawasan paya bakau.
Pemeriksaan dalam bot tersebut menjumpai sebuah beg galas, yang mengandungi lima bungkusan, dipercayai syabu seberat 5 kg, serta satu bungkusan, dipercayai mengandungi pil ekstasi seberat 1.2 kg.
Turut dijumpai, sebuah telefon bimbit, serta plastik bungkusan teh cina, dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.