fb fb fb fb fb

Warga emas didakwa tipu RM500,000 dalam urusan pembayaran balik wang pelaburan

Ch’ng Kee Guan, 74 tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu rakannya berhubung urusan pembayaran balik wang pelaburan perniagaan makanan kesihatan berjumlah RM500,000 kira-kira 16 tahun lepas.

Ch’ng Kee Guan, 74, didakwa menipu ahli perniagaan Chang Seng Kooi, 53, dengan memperdayakannya dalam urusan pembayaran balik wang pelaburan menggunakan cek bank yang berstatus ‘Account Closed’ berjumlah RM500,000 di Wisma Zelan, Cheras di sini pada 2 Mac 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, manakala Peguam Manjit Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berkerja serta mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, masalah jantung dan penglihatan tidak jelas akibat jatuh tangga sejak dua minggu lepas.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan kes. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN