fb fb fb fb fb

2 kes Alif Teega dipindah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

Alif Teega bersama isteri di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan kes pempengaruh media sosial, Mohd Hazalif Mohd Hazani atau lebih dikenali sebagai Alif Teega, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mohd Hazalif berdepan dua pertuduhan penyalahgunaan wang lebih RM60,000 yang diperoleh daripada kutipan dua program infak.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan bersama 10 pertuduhan lain serta menetapkan sebutan kes pada 23 Oktober dan wang jaminan berjumlah RM50,000 dilanjutkan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguambela Mohd Shahrullah Khan yang mewakili Mohd Hazalif berkata pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh awal bagi sebutan kes.

Mohd Hazalif, 30 tahun, menghadapi dua pertuduhan menyalahgunakan wang infak berjumlah RM63,605 akan didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersama-sama 10 pertuduhan serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pada 20 September lepas, Mohd Hazalif didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin, di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari di sini pada 26 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai RM27,558.13 bagi tujuan program Jom! Sertai Infaq Daging Qurban di bank yang sama pada 15 Jun tahun ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Sept lepas, Mohd Hazalif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan salah guna wang derma berjumlah RM1.52 juta antaranya bagi tujuan infak kurma, infak al-Quran, infak pek makanan bagi fakir miskin di Makkah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu serta set pakaian raya untuk anak yatim.

Trainee