fb fb fb fb fb

Polis tumpas geng etnik Rohingya babit 21 kes pecah rumah

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar menunjukkan barang rampasan di sidang media hari ini/Foto Polis Johor

KOTA TINGGI, 22 Oktober – Polis menahan dua lelaki dan empat wanita etnik Rohingya pada 25 September lalu, dipercayai terlibat dalam 21 kes pecah rumah di Johor dan Melaka, dengan anggaran kerugian cecah RM1.25 juta.

Kesemua suspek masing-masing berumur antara 15 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata hasil siasatan turut menemui barang yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah bernilai RM675,500.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyewa kereta dan menyasarkan rumah mewah tanpa pengawal, sebelum memecah masuk pada waktu pagi ketika penghuni tiada di rumah.

"Barang yang sering dicuri termasuk barang kemas, wang tunai, jam tangan, dan beg berjenama," katanya kepada media hari ini.

Seorang suspek wanita berusia 34 tahun dipercayai menjadi dalang, dengan 54 rekod jenayah terdahulu berkaitan kes pecah rumah.

Kumpulan ini juga dipercayai telah beroperasi selama enam bulan selain terlibat dalam kes pecah rumah di Melaka.

Dua daripada suspek mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala empat lagi suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pejabat Pengarah Pendakwaan Johor telah memberi arahan tuduh terhadap 19 kertas siasatan kes tersebut, mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki etnik Rohingya, Mohammad Shukur Mohamad Salim, berumur 29 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN