MUKAH, 1 Julai- Seorang lelaki warga asing berumur 25 tahun direman empat hari selepas disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah di Jalan Mukah-Selangau.
Ketua Polis Daerah Mukah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah melakukan operasi ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kawasan tersebut hasil risikan serta maklumat awam kira-kira pukul 1.50 tengah hari pada Isnin.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, menemukan sebanyak 17 keratan tiub straw lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam poket seluar.
"Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 6.88 gram, dengan nilai pasaran sekitar RM750," menurut kenyataan itu.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada dua warga tempatan yang ditahan lebih awal dan positif dadah itu, suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan.
Ujian saringan air kencing ke atas suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes disiasat bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang direman hingga 4 Julai ini untuk siasatan lanjut.