SHAH ALAM, 1 Julai- Polis mengesahkan seorang daripada tiga suspek wanita yang ditahan terbabit dalam kes bunuh seorang wanita di Mutiara Ville, Cyberjaya pada 24 Jun lalu adalah teman wanita kepada suspek utama serta rakan serumah mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata rakan serumahnya itu telah menyerahkan kad akses dan kunci unit kediaman kepada suspek utama yang berusia 20 tahun, sebelum kejadian pembunuhan berlaku.
"Suspek utama merupakan seorang lelaki yang juga merupakan teman lelaki kepada salah seorang suspek wanita yang telah kita tangkap iaitu rakan serumah mangsa.
Dia telah berada di kediaman itu dengan menggunakan kad akses dan kunci yang diberikan oleh teman wanitanya, yang telah pulang ke kampung selepas tamat tempoh peperiksaannya," katanya pada sidang media kejayaan JSJN Selangor, di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek utama berniat 'tidak baik' terhadap mangsa dan mengambil kesempatan ketika mangsa tinggal bersendirian di rumah.
"Pihak polis mendapati kes ini lebih kepada suspek yang mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tinggal bersendirian di kediaman tersebut. Suspek juga dipercayai mempunyai niat tidak baik terhadap mangsa", jelasnya.
Beliau turut berkata suspek merupakan seorang penganggur dan terlibat dalam aktiviti samun dengan merampas barangan peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit dan komputer riba, selain sempat menggunakan kad bank mangsa untuk membuat pembelian bernilai RM200.
Terdahulu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.