PUTRAJAYA, 1 Julai - Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pakar patologi yang disabit dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan membunuh terhadap Dr R. Kunaseegaran, 62; S. Nimalan, 32 dan S. Ravi Chandran, 54.
Bagaimanapun, Nimalan dan Ravi Chandran terlepas daripada hukuman gantung selepas mahkamah meringankan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka kepada hukuman penjara seumur hidup.
Nimalan dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dengan 12 sebatan manakala Ravi Chandran berdepan hukuman penjara 40 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tiga lagi lelaki iaitu R Dinishwaran, 33, A K Thinesh Kumar, 32 serta M Vishwanath, 35 dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati kekurangan bukti untuk mensabitkan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.
Sebelum ini keenam-enam individu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Datuk Kevin di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya pada 4 September 2015.