SHAH ALAM, 1 JULAI - Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah selepas menyerbu dua makmal haram yang memproses minuman jus mengandungi dadah dalam enam serbuan berasingan di sekitar Ampang, Selangor dan Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu membabitkan rampasan bernilai RM5.03 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak polis juga menahan 13 individu, terdiri daripada lapan lelaki tempatan serta empat lelaki dan seorang wanita warga asing, yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.
"Empat daripada mereka berperanan sebagai ahli kimia satu pembantu ahli kimia dan yang lain berperanan sebagai pengedar dadah bagi sindiket ini. Sindiket ini dipercayai aktif sejak bulan Disember tahun lepas", katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Shah Alam.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan rumah teres sebagai tempat memproses dadah jenis MDMA yang dicampurkan ke dalam minuman jus.
Mereka turut menjadikan kenderaan sebagai stor simpanan sebelum dadah tersebut diedarkan ke pasaran tempatan.
Empat serbuan lain dijalankan di kawasan parkir pusat perdagangan dan ruang letak kereta kondominium, membabitkan rampasan 1,510 kotak serta 728 botol minuman jus disyaki mengandungi cecair dadah jenis MDMA.
Ujian saringan awal air kencing mendapati sembilan orang daripada 13 orang suspek positif dadah.
Ke semua suspek direman, 2 hingga 3 Julai dengan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.