KANGAR, 17 Oktober - Seorang wanita warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 1.735 kilogram ketika memasuki negara di Padang Besar pada 8 Oktober lalu.
Tertuduh, Kittiya Chaiyaphuek, 27 tahun hanya mengangguk faham dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar sekitar jam 6.15 petang, 8 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis, Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 9 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.