fb fb fb fb fb

Kes pemerasan di R&R Tapah: Polis buru empat individu bantu siasatan

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari

IPOH, 17 Oktober - Polis Perak sedang giat mengesan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian pemerasan terhadap sebuah keluarga di Hentian Rehat dan Rawat Tapah, petang 15 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Unser diekori dua kenderaan lain dari arah Terowong Menora sebelum diugut.

Dua lelaki dan dua wanita dipercayai menahan mangsa untuk menuntut bayaran ganti rugi, dan keluarga menyerahkan wang tunai sebelum suspek meninggalkan lokasi.

"Kejadian dipercayai berlaku dari kawasan Terowong Menora sehingga ke Hentian Rehat dan Rawat. Apabila mangsa berhenti di gerai atau restoran, suspek mengambil wang kerana tidak puas hati dengan gaya pemanduan mangsa.

"Dalam kenderaan mangsa terdapat beberapa penumpang lain, dan suspek mengambil tindakan kerana anak mereka dikatakan terjatuh ketika kenderaan mangsa memotong di lebuh raya," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, maklumat awal berkaitan kenderaan terbabit kini membantu polis mengenal pasti dan mengesan semua suspek yang dipercayai terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan. 

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN