IPOH, 17 Oktober - Polis Perak mengesahkan seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia di Gunung Liang, Tanjung Malim semalam akibat masalah kesihatan ketika melakukan pendakian bersama 10 rakannya.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari, berkata kumpulan pendaki memulakan aktiviti dari Fraser’s Hill, Bentong, Pahang menuju puncak sebelum turun melalui laluan Gunung Liang di Perak.
Dua malim gunung berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati tidak memiliki permit sah memasuki kawasan Hutan Simpan Perak.
"Tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana ketika mereka naik melalui Pahang, mereka mempunyai permit memasuki kawasan hutan simpan. Sepatutnya kalau mereka turun di daerah yang sama tempat yang mereka naik tidak menjadi kesalahan tetapi apabila mereka turun di sebelah Muallim, mereka sudah memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit.
"Justeru kesalahan tangkapan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah," katanya di sini hari ini.
Beliau menambah, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, dan kedua-dua malim gunung telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Polis mengesahkan identiti mangsa sebagai Mustaqqeem Mansoor, 34 tahun, dari Sungai Petani, Kedah, dan usaha membawa turun mayat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bersama pasukan penyelamat.
Polis menasihatkan orang ramai supaya memastikan permit dan kebenaran diperoleh lebih awal sebelum melakukan pendakian, khususnya yang merentasi sempadan negeri, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.