fb fb fb fb fb

Op Tapis Khas: 413 individu ditahan

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari memaklumkan pada media mengenai Op Tapis Khas di Perak

IPOH, 17 Oktober - Seramai 413 individu ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dijalankan selama tiga hari bermula 13 Oktober di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari, berkata operasi itu melibatkan 270 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 28 pegawai kanan, dengan kerjasama tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tumpuan operasi diberikan di kawasan Felda, Felcra, ladang swasta, Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), flat dan jeti nelayan yang dikenal pasti sebagai lokasi utama penagihan dadah.

Daripada tangkapan, 53 disiasat mengedar, 128 memiliki dadah, 224 di bawah Seksyen 15(1)(a), dan tiga lagi di bawah Akta Pencegahan Khas.

"Nilai total untuk pengoperasian selama tiga hari dengan nilai rampasan adalah sekitar hampir RM88,000.

"Ianya juga melibatkan sitaan terhadap barangan seperti satu buah kenderaan motokar, empat buah motorsikal termasuk wang tunai hampir sekitar RM24,871," katanya pada sidang media di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, 399 suspek adalah warga tempatan, manakala selebihnya warga asing dari Kemboja, Thailand, Indonesia, Nepal dan China.

Di Taiping, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menahan dua lelaki bersama 13.6 kilogram ganja, manakala di Batu Gajah seorang lelaki ditahan bersama 2.3 kilogram heroin dan 0.6 gram syabu.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun, dan semua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau. 

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN