BATU PAHAT, 27 September - Seorang wanita tempatan kerugian RM301,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon pada 14 Mei lalu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap, sebelum meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank miliknya.
“Mangsa turut diminta membuat pindahan wang ke akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan Bank Negara. Antara 20 Mei hingga 25 September, mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke dalam 17 akaun berbeza.
“Selepas memasukkan sejumlah RM301,000, mangsa diminta membuat bayaran tambahan, namun enggan berbuat demikian selepas menyedari dirinya ditipu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali serta membuat semakan terlebih dahulu jika meragukan.