ROMPIN, 6 September – Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita yang menjadi mangsa penipuan seorang lelaki menyamar sebagai pengamal perubatan tradisional melalui aplikasi media sosial.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa diarahkan menjual barang kemas sebelum menyerahkan wang tunai serta emas bernilai lebih RM103,000 di kawasan Kota Bahagia, Rompin.
“Mangsa turut diperdaya untuk menghantar rakaman video dan gambar peribadi kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati kes berkenaan merupakan penipuan bomoh scammer dan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan mistik atau individu tidak dikenali melalui aplikasi media sosial.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin di talian 09-4145999.