fb fb fb fb fb

Chegu Bard ditahan, ceramah berunsur hasutan libatkan institusi diraja

Chegu Bard ditahan kira-kira pukul 10.25 malam semalam / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 September – Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam penyampaian ceramah berunsur hasutan membabitkan institusi diraja, susulan penularan sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, video berkenaan dikesan dimuat naik oleh akaun TikTok dengan nama pengguna “Edume @4mrankiamat”, memaparkan individu dikenali sebagai Chegu Bard sedang menyampaikan ceramah dengan kandungan yang dipercayai berunsur hasutan serta mengandungi dakwaan tidak berasas.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menjalankan siasatan sebaik sahaja laporan polis diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 10.25 malam semalam bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat pada 6 September di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Datuk M. Kumar menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kenyataan berunsur hasutan.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berbaur hasutan sehingga boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat,” tegasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE