IPOH, 6 September- Polis Perak menahan tiga individu dipercayai ahli sindiket penipuan atas talian yang aktif merekrut orang awam sebagai ‘keldai akaun’.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan dibuat dalam satu operasi khas pada 3 September lalu hasil serbuan di sekitar Ipoh dan Pandan Indah, Selangor.
Siasatan awal mendapati, sindiket menawarkan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap akaun bank yang didaftarkan menggunakan maklumat peribadi mangsa.
"Penahanan dibuat susulan laporan seorang suri rumah berusia 58 tahun yang mendakwa ditipu pada 12 Ogos lalu selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai penguat kuasa. Mangsa dimaklumkan akaun bank miliknya terbabit dengan aktiviti jenayah kewangan.
Mangsa yang panik dan terpedaya menyerahkan kad ATM kepada sindiket sebelum menyedari wang sebanyak RM240,000 dalam akaunnya telah dikeluarkan tanpa pengetahuan," katanya menerusi kenyataan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa telefon bimbit mengandungi aplikasi perbankan serta kad ATM milik pelbagai individu.
Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan berkaitan kes penipuan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau CCID Infoline melalui WhatsApp di talian 013-2111222.