BINTULU, 7 September - Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Bintulu ketika rondaan rutin di perairan Bintulu petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot berkenaan ditahan pada pukul 2.45 petang di kedudukan 3.5 batu nautika barat laut Kuala Kemena menerusi Ops Tiris 3.0 dan Ops Permai.
Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan sembilan kru termasuk seorang nakhoda warga Indonesia berusia antara 24 hingga 47 tahun.
“Bot itu disyaki melakukan kesalahan kerana gagal memaklumkan pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal. Kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bot bersama kru kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut.