fb fb fb fb fb

Warga emas ditahan, disyaki terlibat kes ugutan ke atas pakar patologi

Foto hiasan

KOTA KINABALU, 7 September - Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 61 tahun yang disyaki terlibat dalam kes ugutan ke atas pakar patologi berkaitan kes Zara Qairina Mahathir hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dalam satu kenyataan memaklumkan tangkapan dilakukan kira-kira pukul 7.00 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Semporna, Sabah.

"Turut dirampas daripada suspek adalah telefon bimbit jenama Redmi. Hasil semakan awal ke atas gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook 'Amung Kamaruddin' yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Pada 5 September lalu, pihak polis telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pengadu berhubung satu kenyataan di laman Facebook menggunakan akaun atas nama 'Amung Kamarüddin' yang berunsur ugutan jenayah dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian terhadap seorang Pakar Patologi, Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.

"PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI