KUALA LUMPUR, 26 November - Seorang wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sebagai pembantu rumah haram selama hampir 16 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa berusia 56 tahun itu ditemui bersembunyi di bawah sebuah pacuan empat roda ketika pasukan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan pengubahan wang haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melakukan operasi di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor pada 24 November lalu.
Siasatan mendapati mangsa diarahkan bersembunyi bagi mengelakkan dirinya ditemui pihak berkuasa.
"Mangsa bekerja tanpa sebarang pas sah dan hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan namun tidak menerima sebarang bayaran sejak dua tahun kebelakangan ini. Sepanjang tempoh bekerja, mangsa turut didakwa berdepan tekanan fizikal dan emosi apabila sering dimarahi serta pernah dipukul majikan.
"Mangsa juga tidak dibenarkan memegang pasport, telefon bimbit serta berdepan sekatan komunikasi sehingga tidak dapat menghubungi keluarga," menurut kenyataan itu.
Mangsa dipaksa bekerja tanpa waktu rehat dan terpaksa mencuri masa untuk tidur. Dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 51 tahun yang merupakan majikan mangsa turut ditahan.
Suspek mengakui mendapatkan mangsa melalui ahli keluarga terdekat. Kes berkenaan sedang disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun, selain hukuman sebat bagi kesalahan lebih berat. JIM memandang serius kes pemerdagangan manusia dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terlibat.
Selain itu orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil. Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel