JOHOR BAHRU, 26 November – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan berkaitan pemerdagangan manusia yang melibatkan dua remaja bawah umur antara Mac hingga Mei lalu.
Tertuduh, Vencent Sak Zhan Sheng, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Dia didakwa bersama lima individu lain yang telah dituduh pada Julai lalu, memperdagangkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun dalam tempoh yang sama.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 dan 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport tertuduh, serta mengingatkan agar tidak mengganggu saksi atau mangsa.
Mahkamah menetapkan 13 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.