BUKIT MERTAJAM, 26 November – Seorang lelaki warga Nepal, Dinesh Kumar Mandal, 35, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan membunuh dua beranak di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam pada 18 Oktober lalu.
Tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun tiada pengakuan direkodkan.
Menurut pertuduhan, Dinesh Kumar Mandal didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam pada tarikh tersebut.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung, sekiranya sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam. Mahkamah menolak permohonan ikat jamin.
Tarikh 26 Januari tahun hadapan ditetapkan bagi serahan laporan forensik, kimia dan bedah siasat.