fb fb fb fb fb

Pensyarah rugi RM914,758 terperdaya pelaburan tidak wujud

Foto fail/RTM

JASIN, 26 November -Seorang pensyarah wanita mengalami kerugian hampir sejuta ringgit setelah tertipu dengan tawaran pelaburan tidak wujud menerusi sosial media yang menjanjikan keuntungan besar dalam waktu singkat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Pemangku Superitendan Lee Robert berkata, mangsa 40-tahun berminat dengan tawaran pelaburan di aplikasi Instagram yang kemudian menghubungkan mangsa dengan suspek di aplikasi Whatsapp.

"Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi Moo Moo melalui pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran akaun pelaburan.

"Bermula 1 September hingga 18 Oktober 2025, mangsa telah membuat 20 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM914,758.82," katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 sebagai yuran suku tahun sebelum boleh mengeluarkan keuntungan.

Laporan kemudian dibuat di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF