KUALA LUMPUR, 25 November - Seorang anggota polis cedera ringan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki tiga lelaki warga asing ketika melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan di sekitar Chow Kit tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Sang Wangi Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sazalee Adam berkata anggota berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan dalam keadaan stabil.
Menurut beliau dalam kejadian pada 12.15 tengah hari itu sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika anggota polis hendak memeriksa kenderaan SUV yang dinaiki tiga lelaki berkenaan pemandu kenderaan itu bertindak memecut dan telah melanggar seorang anggota yang berada di hadapan.
"Suspek kemudian memandu SUV berkenaan ke arah Jalan Kuching dan ke kawasan berhampiran Bank Negara dan telah melanggar beberapa kenderaan milik awam sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
ACP Sazalee berkata dua daripada suspek cuba melarikan diri selepas kenderaan mereka terbabas bagaimanapun berjaya ditahan polis di sekitar Bank Negara.
"Dua daripada mereka cedera kerana terjun dari kawasan curam ketika hendak melarikan diri dan telah dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut," katanya.
Katanya semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan.