KUALA LUMPUR 3 MEI -Polis mengesahkan seorang wanita yang dalam perjalanan bagi memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya, hilang pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita berkenaan pada pukul 3.00 petang pada 9 April lalu.
“Beliau dijadualkan akan hadir di pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan berkaitan siasatan pihak SPRM.
Ketidakhadiran mangsa pada 9 April lalu disahkan oleh pihak SPRM.
“Sebelum itu mangsa beberapa kali hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat oleh pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laporan polis juga dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan berkaitan kehilangan mangsa.
“Percakapan beberapa orang saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakamkan bagi membantu siasatan ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan, melaporkan wanita berusia 42 tahun yang dikenali sebagai Pamela Ling menaiki kenderaan e-hailing dari kediamannya di Petaling Jaya ke pejabat SPRM, Putrajaya sebelum dikatakan dipintas oleh tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai SPRM’.