MIRI, 2 Mei - Tiga kru termasuk nakhoda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas vesel tunda yang dinaiki mereka gagal mengemukakan dokumen sah semasa pemeriksaan rutin di perairan Tanjung Baram, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam kenyataan media berkata, pasukan peronda Maritim Malaysia menahan vesel itu bersama kru terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 39 hingga 53 tahun.
Penahanan dilakukan pukul 12.30 tengah hari semasa pelaksanaan Operasi PERMAI 01/2019 dan Operasi TIRIS 3.0, kira-kira 4 batu nautika barat laut Tanjung Baram.
Vesel berkenaan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Miri untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (M-S-O) 1952 atas kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda dan Akta Imigresen 1959/63 berhubung penyalahgunaan pas lawatan sosial dan ketiadaan permit kerja sah.