fb fb fb fb fb

Tikam anak 11 tahun, bapa direman seminggu

Anggota polis membawa suspek (dua dari kanan) selepas prosiding reman di Mahkamah Majisret Kota Bharu hari ini. / Foto BERNAMA

KOTA BHARU 3 Mei: Seorang bapa ditahan reman selama tujuh hari kerana menikam anaknya berusia 11 tahun, di Kampung Banggol Che Dol, di Pasir Mas semalam.

Suspek berusia 47 tahun yang juga seorang guru ditahan reman bermula hari ini hingga 9 Mei.

Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan berpakaian lokap pukul 8.40 pagi.

Semalam media melaporkan, seorang budak lelaki cedera ditikam bapanya sebanyak dua kali di dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.

Suspek dilaporkan ada masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatrik sejak 2008 hingga kini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed dilaporkan berkata, anggota bertugas sudah menahan suspek di rumahnya di Kampung Banggol Che Dol, semalam.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga yang mana dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei nanti.

MOHAN CHINNASAMY