KRUBONG, 3 Mei- Empat lelaki tempatan berusia 19 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sini, pada 30 April lalu, pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 10 kilogram (10,000 gram) yang dianggarkan bernilai RM320,000.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Melaka bersama sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah.
"Pihak polis turut menyita harta milik kesemua individu yang ditahan yang yang dianggarkan bernilai RM59,000. Antara harta yang disita seperti sebuah kereta jenis Honda City, sebuah motosikal jenis Yamaha 150, sebuah motosikal jenis SYM Jet X dan sebuah motosikal jenis Honda EX5. Keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan dianggarkan bernilai RM379,000", katanya menerusi satu kenyataan.
ACP Christopher berkata sindiket dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran ke luar negara yang boleh digunakan seramai lebih 33,000 penagih.
Tambahnya, hasil saringan awal polis mendapati, kesemua suspek bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah. Namun, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau dadah.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Mei. Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.