SEREMBAN, 30 Mac- Seorang anggota tentera ditahan pihak polis selepas didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita dalam satu insiden kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Hatta Che Din, menerusi satu kenyataan memaklumkan suspek berusia 35 tahun itu ditahan petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak menggunakan kekerasan terhadap mangsa berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam pada bahagian rusuk kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya.
Menurut Mohamad Hatta, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam apabila mangsa yang memandu kereta Perodua Axia dari arah Mydin Senawang ke Senawang tidak sempat mengelak apabila isteri suspek, 34 tahun, bersama anak perempuan mereka berusia tujuh tahun, tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
Akibat pelanggaran tersebut, isteri suspek dan anaknya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.
Kes turut disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 bagi menentukan punca sebenar kemalangan dan langkah seterusnya yang akan diambil pihak berkuasa.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan sebarang insiden yang berlaku.