KUALA LUMPUR, 31 Mac- Seorang lelaki ditahan kerana melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun dalam satu kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak tersebut meninggalkan kereta dalam keadaan enjin masih hidup di kawasan parkir masjid berkenaan bagi memujuk anak perempuannya yang berusia setahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam itu, seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan dengan melarikan kenderaan tersebut bersama kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun bapanya berusia 41 tahun gagal mengejar pelaku yang melarikan kenderaan terbabit.
"Sekitar pukul 3.45 pagi ini, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengesan kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak R&R Behrang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan dengan suspek ditemui sedang tidur dalam kenderaan itu dengan enjin masih hidup.
"Apabila diminta membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya," menurut kenyataan itu.
Susulan tindakan lelaki tersebut, polis terpaksa memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan.
Dengan tindakan pantas polis berjaya menahan suspek dan menyelamatkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan mendapati suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain," tambah kenyataan itu.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Hamzah menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, terutama ketika enjin masih hidup.